Tuesday 29 November 2011

KEPENTINGAN KESUSASTERAAN MELAYU

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :


Pertama anak manusia
Anak yang tahu asal jadinya
Yang tahu membalas guna
Kecil cencilak padi

Besarnya cencilak padang

Kecilnya duduk mengaji

Besarnya tegak sembahyang

Mengaji syarak dengan adat

Mengaji salah dengan silih

Mengaji aib dengan malu

Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat

Yang setia memegang amanah

Duduk tahu akan dirinya

Tegak tahu akan maruahnya

Cakapnya berhingga-hingga

Baiknya berpada-pada

Sifatnya berpatut-patut

Patut bergaul sama sebaya

Patut duduk dalam majlis.

Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan.

Contoh :

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.


Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun.

....

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara'
....


Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

.....

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan.

....

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.


Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:


Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

No comments:

Post a Comment