Friday 30 December 2011


Novel Dari Lembah Ke Puncak
1. Hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil. Anak muda yang berusia lapan belas tahun itu masih berselimut dalam kain sentung nipis dan lusuh, mengerekot menahan dingin pagi yang dibawa angin yang mencuri masuk di celah-celah dinding usang.

a.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas? (1 markah)
b.Berikan tiga jenis gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas.(3 markah)

2. “Bukan begitu maksud Jalil, mak! Tapi...”
“Tapi apa? Abang engkau itu jahat? Begitu? Dia tu balik setahun sekali pun susah, bagaimana pula nak larikan anak dara orang?” Mak Teh semakin meradang.

a.Siapakah yang dibela oleh Mak Teh?(1 markah)
b.Apakah peristiwa yang menyebabkan dialog di atas dituturkan?(2 markah)
c.Apakah teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas?(1 markah)

3. Tengah hari selepas kegemparan itu, Jalil pulang dari sekolah. Dia berjalan dari simpang jalan tar ke Bukit Jenun, menumpangi teduh rimbunan getah muda Ah Yau. Apabila sampai di depan rumah Pak Ngah Kadir, ayah Biah, dia terserempak dengan Kudin.

Berdasarkan petikan di atas, berikan empat latar tempat yang dipaparkan oleh penulis.

4. Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis. Entah mengapa hatinya berasa sedih. Susah bagi Jalil untuk menangis. Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis. Tetapi, kali ini Jalil tewas. Ditewaskan oleh keadaan.

a.Apakah peristiwa yang menyebabkan Jalil menangis?(2 markah)
b.Jelaskan teknik plot yang digunakan oleh penulis?(2 markah)

5. Selama ini dia mengenali Biah sebagai anak gadis yang baik, rajin, dan tidak banyak bercakap. Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam keluarga Pak Ngah Kadir, Biahlah yang mencari rezeki dengan menoreh getah.

Senaraikan perwatakan Biah berdasarkan petikan di atas.(4 markah)

6. Di surau itu dahulu diadakan majlis bubur asyura setiap tahun ketika tiba awal Muharam. Setiap penduduk kampung akan datang memeriahkan majlis itu secara bergotong-royong. Ada yang membawa tepung, gula, kayu api, dan bermacam-macam lagi. Semuanya tidak perlu dibeli.

a.Apakah nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat dalam petikan di atas? (2 markah)
b.Berikan dua unsur Islam dalam petikan di atas.(2 markah)

7. Akhirnya, sawah padi pusaka itu bertanam juga. Hampir dua minggu Jalil mengambil masa untuk mengubah anak benih padi ke sawah. Namun, dia bersyukur kerana berhasil juga mengerjakan sawah pusakanya. Dia berasa bersalah jika sawah itu terbiar. Dia berasa bapanya memerhatikannya mengerjakan sawah warisan itu.

Nyatakan empat latar masyarakat dalam petikan di atas.(4 markah)

Skema jawapan :

1.a. Teknik pemerian
b.Tiga jenis gaya bahasa:
i.personifikasi – angin yang mencuri masuk/ hujan lebat yang turun malam tadi menempiaskan sedikit rasa kemalasan dalam diri Jalil
ii.kata ganda – celah-celah
iii.dialek Kedah – kain sentung (kain pelikat)

2.a.Muhsin
b.i.Mak Teh marah apabila Jalil bertanyakan tentang Muhsin.
ii. Muhsin dituduh melarikan Biah ke Kuala Lumpur.
c.Teknik - dialog

3.Latar tempat
i.sekolah
ii.simpang jalan tar ke Bukit Jenun
iii.kebun getah Ah Yau
iv.depan rumah Pak Ngah Kadir

4.a.i.Jalil dimarahi oleh guru Biologinya, Miss Ong.
ii. Pulang dari sekolah, Jalil dipukul curi oleh tiga orang yang tidak dikenali.
b.Teknik
i.imbas kembali - Semasa arwah bapanya meninggal dunia pun dia tidak menangis.
ii.pemerian - Di matanya air jernih tergenang. Jalil menangis.

5.Perwatakan Biah
i.Baik
ii.Rajin
iii.Tidak banyak bercakap/ pendiam
iv.Bertanggungjawab
v.Pandai/mahir/cekap menoreh getah

6.a.i.Bergotong-royong/muafakat/bekerjasama
ii. murah hati/pemurah
b.i.Surau
ii. Muharam
iii.Asyura

7.i.Masyarakat petani
ii.Masyarakat yang bersyukur
iii.Masyarakat yang berusaha gigih
iv.Masyarakat yang bertanggungjawab

SOALAN STRUKTUR

1. “Berahim anak kurang ajar,” gerutunya. “Nanti aku sesah kepalanya dengan lading malam ini. Tak boleh kepalanya aku tetak kepala bininya. Tak boleh kepala bininya aku cincang anaknya. Tak boleh anaknya aku rantas kaki kerbaunya!’
a)Berikan sebab yang menjadi punca kemarahan penutur di atas.
b)Siapakah nama penutur dialog di atas.
c)Berikan dua persoalan yang diperoleh daripada cerpen tersebut.

2.Nyatakan gaya bahasa yang sesuai dalam petikan cerpen.

a. Pijakan itu gopoh-gopoh bagaikan dikejar anjing tiga suku.
b. Pudar-pudar warna bulan menampar-nampar air di sawah.
c. “Berahim! Berahim! Mana Berahim! Aku mesti tetak dia!”
d. “Dah habeh?”

SOALAN ESEI

3.a. Berikan dua sebab yang mencetuskan konflik antara Jusoh dan Berahim
sehingga menyebabkan kedua-duanya saling bermusuhan. [4 markah]
b. Nyatakan citra masyarakat yang tergambar dalam cerpen.[10 markah]


Contoh Jawapan

1 a) sawahnya sudah kering kontang kerana gelungnya terpokah [1m]
b) Jusoh [1m]
c) Prasangka yang membawa kepada konflik sesama jiran tetangga [ 1m]
Berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan [1m]
Kemiskinan hidup masyarakat petani [1m]

2.Simile [1m]
Personifikasi [1m]
Repitisi [1m]
Sinkope [1m]


3. a)Peristiwa gelung air petak sawah Jusoh telah dipokah oleh seseorang
Jusoh secara melulu menuduh Berahim melakukannya
Jusoh tidak dapat bersabar dengan kejadian tersebut kerana dia bergantung hidup pada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga
Kerbau Berahim disimbah cuka getah oleh Jusoh
Berahim menghadapi masalah untuk mengusahakan sawah kerana kematian kerbaunya
Berahim menyimpan dendam terhadap Jusoh

b. Masyarakat petani yang hidup bergantung pada hasil pertanian
Masyarakat yang saling berdendam antara satu sama lain
Masyarakat yang prihatin
Masyarakat yang suka membuat tuduhan tanpa bukti
Masyarakat petani yang hidup susah

Hikayat Indera Nata
Sinopsis

Indera Janaka, Si Batu Kembar dan Raja Rom, akhirnya mati dalam unggun api yang marak. Indera Nata dan kesemua tujuh orang puteri berasa gembira. Setelah kemangkatan Raja Rom, bonda Indera Nata, Tuan Puteri Cenderawati menceritakan bahawa Raja Rom sebenarnya ayahanda kepada Indera Nata. Ia menceritakan peristiwa yang telah berlaku menyebabkan ia terpisah dengan Raja Rom. Puteri Cendera Kesuma kemudiannya menghidupkan kembali aja Rom dengan batu hikmat Betara Gangga. Raja Rom yang hidup kembali diberitahu kisah sebenar yang berlaku pada Puteri Cendera Wati satu ketika dahulu. Raja Rom menyesal lalu berterima kasih pada semua.

Indera Nata, kemudiannya berkahwin dengan empat daripada tujuh puteri itu. Apabila diketahui oleh ayahanda kesemua puteri itu, mereka ingin mendapatkan semua anakanda mereka. Ketujuh-tujuh raja tersebut kemudiannya datang untuk menyerang Indera Nata namun setelah melihat keperibadian Indera Nata yang terlalu elok rupa paras dan terlalu tinggi budi pekerti itu, mereka membatalkan hasrat tersebut.

Raksasa berasa marah kerana anaknya, Si Batu Kembar telah terbunuh oleh Indera Nata. Ia menyerang dan banyak rakyat Rom yang dimakannya. Walaupun cuba dimakan dan dihempas, Indera Nata dengan berani dan gagah berjaya mengalahkan raksasa itu dan merantainya.

Raja Rom dan kesemua tujuh raja berasa kagum dengan kehebatan Indera Nata. Indera Nata membenarkan kesemua tujuh puteri untuk kembali ke negara masing-masing tetapi mereka enggan berpisah dengan Indera Nata. Kesemua tujuh raja menerima hakikat tersebut dan bermohon kembali ke negara masing-masing.

Contoh Soalan dan Jawapan :

1. Jelaskan watak utama cerita dan perwatakannya. (8 markah)
Watak utama cerita ialah Indera Nata atau Piatu. Ia seorang yang gagah. Indera Nata dapat mengalahkan raksasa yang cuba membunuhnya sedangkan orang lain gagal. Indera Nata juga seorang yang penyayang. Ia menyayangi ayahandanya sehinggakan sanggup menghidupkan semula ayahnya dengan bantuan Puteri Cendera Kesuma. Selain itu, ia seorang yang berani. Ia berani menentang raksasa seorang diri sedangkan orang lain berundur dan menyelamatkan diri masing-masing. Beliau juga mempunyai kesaktian. Indera Nata memiliki kesaktian iaitu tidak cedera walaupun dihempas oleh raksasa. Beliau juga amat berbudi bahasa. Indera Nata berkata-kata dengan lemah-lembut dan amat menghormati kesemua tujuh raja yang ingin menyerang Rom.


GLOSARI ISTILAH GAYA BAHASA
1. Anafora-pengulangan kata pada awal baris. Contohnya,
Tiap insan mengecap nikmat merdeka,
Tiap saat menghirup segar uadara kebebasan,

2. Epifora-pengulangan perkataan pada akhir baris.
Contohnya, Fajar hilang ditelan sibuk kota,
Tawaku kemarau di dada kota,

3. Responsif-pengulangan kata pada tengah baris. Contohnya,
Kemerdekaan adalah milik kami,
Kebebasan adalah impian semua,

4. Hiperbola- gaya bahasa perbandingan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan-lebihan.
Contohnya, Darah mengalir menganak sungai, Dia berendam air mata.

5. Hybrid-penggabungan dua patah kata.
Contohnya, menyinarresap, sedihpilu.

6. Inversi-pembalikan kata iaitu urutan kata yang menyimpang daripada kebiasaan supaya menjadi baris yang lebih menarik dan menghasilkan kesan tertentu.
Contohnya,terasa sekali dingin angin.

7. Metafora-gabungan kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna asal. Pada kebiasaannya, mengandungi 2 patah perkataan gabungan kata konkrit dan abstrak.
Contohnya, jentera ingatan, gunung harapan,fajar cemerlang.

8. Personifikasi- gaya bahasa perbandingan yang memberikan sifat manusia kepada benda,haiwan dan tumbuhan.
Contohnya, hatiku dimamah sepi, mentari tersenyum riang.

9. Simbolik-juga dikenali sebagai perlambangan. Melukiskan sesuatu dengan menggunakan benda lain sebagai lambang. Contohnya,’merpati’ melambangkan ‘kebebasan’ dan ‘gunung’ melambangkan ‘cita-cita.’

10. Simile- gaya bahasa perbandingan yang digunakan untuk membandingkan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan iaitu umpama,bak,bagai,macam,laksana. Contohnya, ibuku bagaikan pelita, dia berjalan laju seperti angin

11. Perbandingan terus
Gaya bahasa perbandingan yang tidak menggunakan kata bak, seperti, bagaikan, umpama, macam, laksana.
Contohnya, tanahair adalah ibundaku, guruku mentari bersinar.

12. Sinkof-kata singkatan.
Contohnya, nak, saja, kau, tak, dah.

13. Kata ganda- kata yang digandakan seperti rumah-rumah, bukit-bukau, warna-warni, daun-daun.

14. Alusi- penggunaan nama tokoh manusia dengan membawa maksud tertentu. Contohnya, Dengan langkah Hang Tuah, dia melonjakkan nama negara.

15. Asonansi – pengulangan bunyi vokal dalam baris. Contohnya, asonansi a, mereka mencipta jaya.

16. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan dalam baris.
Contohnya, aliterasi k, akan kukendong impian keluarga

Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris-baris puisi; biasanya pada awal kata/perkataan yang berurutan. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurenungi" karya Jihaty Abadi: 'kurenungi kemurnian kehidupan'. Dalam baris ini terdapat pengulangan bunyi konsonan k pada setiap awal perkataan. Pengulangan seperti itu menimbulkan kesan keindahan bunyi.

Alusi
Satu ragam atau jenis gaya bahasa perbandingan yang rnerujuk secara tidak Iangsung kepada sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh atau karya sastera yang terkenal. Contohnya, petikan daripada puisi "Perarakan Suku Abad" karya Zurinah Hassan: 'Wan Empok dan Wan Malini'. Dalam contoh ini terlihat perbandingan kemewahan dan kemakmuran yang merujuk kepada kemewahan Wan Empok dan Wan Malini, tokoh metos dalam Sejarah Melayu, karya sastera yang terkenal itu.

Ambiguiti
Makna kata/perkataan atau ungkapan dalarn puisi yang mernpunyai pelbagai kemungkinan tafsiran, iaitu lebih daripada satu makna atau tafsiran. Dengan demikian, ambiguiti disebut juga ketaksaan. Puisi yang seperti ini memang agak sukar untuk diselami maknanya secara tepat atau jelas tetapi dianggap sebagai puisi yang kuat dan segi isi atau pemikirannya.

Anafora
Satu ragam atau jenis gaya bahasa pengulangan, iaitu kedudukan pengulangan satu kata/perkataan atau lebih pada awal baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Kurnia" karya Shamsuddin Jaafar:
adalah kerinduan
adalah harapan
adalah keriangan

Dalam contoh tersebut, terdapat pengulangan perkataan 'adalah' pada awal setiap baris. Pengulangan ini menimbulkan kesan keindahan bunyi dan bertujuan untuk menguatkan pernyataan maksud.

Asonansi
Pengulangan bunyi vokal yang sama pada kata/perkataan yang berurutan dalam baris-baris puisi. Contohnya, petikan daripada puisi "Keindahan yang Hilang" karya Shamsuddin Jaafar: 'terbang beriring di rembang petang'. Dalam baris-baris, terdapat pengulangan bunyi vokal e pada setiap perkataan. Pengulangan begini menimbulkan kesan kehalusan, kelembutan, kemerduan atau keindahan bunyi.

Bahasa Denotatif
Bahasa yang mempunyai makna jelas, tepat atau khusus seperti dalam kamus. Jadi, bahasa demikian hanya memberikan makna yang tersurat, iaitu apa yang ditulis atau disebut maka itulah maknanya. Contohnya: 'seorang ayah dan suami' daripada puisi 'Bila Berjauhan' karya A. Wahab Ali.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjbXnrqybO528OkuAkgyjBcaz3GyH5N3SzH4rNurU40cYvtnkFmmXmKUTq1BdJ-l_cc8E5wSy9sdND84cDOrFbeoPue0Fw9fRnOPo_fEg1HmkyfjEjw_2QKkpYbHHU2253NedPL1q8hnFR5/s200/iluscerpenbh2.jpgDalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita.

Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis. Contohnya, watak Pak Soh dalam Novel Mereka Yang Tertewas.

Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca.

Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah. Misalnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita. Contohnya, watak Rimpa dalam Novel Terminal Tiga.

Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.

Jelasnya, Pembaca tidak lagi terkejut dengan tindak-tanduk watak tersebut kerana pembaca telah dapat mengagak sebarang kemungkinan yang akan dilakukannya berdasarkan sifat peribadi yang dimilikinya. Biasanya, terdapat dua kategori watak pipih yang dipaparkan oleh pengarang cerita, iaitu:

a. Watak pipih yang berpihak kepada protagonis.

Contohnya, Watak Jemilah, Pudin, Mat Yassin dan Uda Puat dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Lebai Pa.

b. Watak pipih yang berpihak kepada antagonis.

Watak-watak ini cenderung berpihak kepada antagonis. Contohnya, Watak Khatijah dan Kidam dalam Novel Mereka Yang Tertewas, berpihak kepada Pak Soh.

Watak Statik

Watak yang tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita. Ia digambarkan terus dengan pendiriannya atau tingkah laku yang ditonjolkannya dari awal hingga akhir cerita. Contohnya, Watak Mat Yassin dalam Mereka Yang Tertewas.

2. Watak Sampingan

Watak-watak pembantu yang ditimbulkan oleh pengarang dalam cerita untuk menyokong tindak-tanduk watak utama. Watak-watak ini diwujudkan sebagai pelengkap cerita. Watak ini kadangkala bergerak seiring dengan watak utama dalam cerita.